DUNIA YANG SEMPIT BUKANLAH ALASAN KEPADA KETIDAKAMANAN
TIDAK dinafikan dunia hari ini menjadi semakin sempit, ke mana-mana kita pergi, wujud masyarakat berbilang kaum, etnik dan agama serta teknologi semangkin canggih, namun kehidupan kita semakin kurang aman yang kadang-kadang kita berasa tidak selesa dan mungkin tidak selamat.
Kita dapat lihat bagaimana kehidupan manusia penuh dengan tekanan, keganasan dan lunturnya nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati dan toleransi dalam kehidupan seharian.
Keadaan ini sebenarnya memberi kesan kepada generasi muda untuk melihat kehidupan mereka akan datang, apakah kehidupan ini penuh dengan budaya keganasan dan inikah sebenarnya kehidupan?.
Namun kadangkala imej golongan muda sering dikaitkan dengan pencetus masalah dan keganasan. Golongan muda juga boleh menjadi mangsa kepada konflik yang berlaku. Dalam hal ini golongan muda perlu membentuk imej yang lebih positif yang boleh menjadi ejen perubahan dan duta keamanan.
FAHAMI KEAMANAN
Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dalam ucaptama beliau yang bertajuk Keamanan Dari Perspektif Islam Dan Kesannya Terhadap Kestabilan Ekonomi Dan Politik: Ibrah dari Pemerintahan Islam, menyebut dua perkara paling penting yang manusia kehendaki iaitu nikmat kesihatan dan nikmat keamanan.
“Nikmat kesihatan akan terasa kehilangan apabila mendapat kesakitan. Apabila sakit barulah kita akan sangat menghargai kesihatan.
“Begitulah juga dengan nikmat keamanan sesebuah negara yang akan memberi kesan kepada politik dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.
Menurutnya, negara Syria pada tahun 1960-an aman dan makmur, harga barangan sangat murah dan kos sara hidup sangat murah. Rakyat Syria hidup dalam keadaan aman damai.
Sehingga buah-buahan sekilo hanya berharga beberapa sen mengikut nilai Malaysia. Namun keadaan itu tidak berpanjangan. Syria bergolak dan terus bergolak hingga kini.
“Apabila tahun 2013, berlaku peperangan dan kekacauan. Harga barangan meningkat mendadak sehingga harga seekor ayam bernilai ratusan ringgit Malaysia. Akibatnya rakyat memberontak dan berlaku kekecohan, seterusnya menimbulkan ketidakamanan kepada rakyat dan negara,” jelasnya.
EKONOMI BERTAMBAH BAIK
Dr Zulkifli turut menjadikan pengalaman pemerintahan Saidina Umar sebagai contoh untuk diteladani. Kenapa? Kerana pemimpinnya memerintah sehingga tidak ada rakyatnya yang susah dan kelaparan.
“Saidina Umar menjaga kebajikan rakyatnya sehingga semua rakyatnya tidak layak untuk mendapat zakat. Akibatnya ekonomi negara bertambah baik.
“Pernah beliau merungut kepada Saidina Ali, kenapa rakyat aku ini terlalu baik? Saidina Ali menjawab, rakyat yang baik hasil daripada pemerintahnya yang baik. Rakyat yang amanah adalah kerana pemerintahnya amanah.
“Ketua pemerintahan negara memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan dan keamanan sesebuah negara,” ujarnya.
Beliau turut mengatakan, perasaan aman dan selamat itu ibarat kita boleh meninggalkan rumah tanpa merisaukan pencuri dan ancaman daripada lain-lain.
“Sangat penting untuk setiap rakyat menjaga keamanan negara. Isu jihad sekarang di Syria menjadi perbualan masa kini.
"Rakyat Malaysia yang terjebak dengan jihad ke Syria dan kebanyakan yang menyertainya tidak mengetahui tujuan sebenar perbuatan jihad tersebut. Mereka hanya dimomokkan dengan ganjaran dan kewajipan setiap Muslim untuk berjihad atas nama Islam oleh individu-individu yang bertopengkan perjuangan Islam,” katanya.
MEDIUM PERKONGSIAN IDEA
Pengarah Program yang juga Dekan Kluster Penyelidikan Humanities UM, Prof Datin Dr Raihanah Abdullah berkata, bual bicara Peranan Keamanan Ke arah Ekonomi dan Kestabilan Politik ini menjadi wadah perkongsian idea dengan pihak yang terlibat secara langsung dengan jabatan agama dan pertubuhan tertentu yang memperjuangkan misi kemanusiaan dan keamanan, terutamanya terhadap negara-negara yang mengalami peperangan.
“Selain itu, bual bicara ini menjadi medan untuk para penyelidik membentangkan hasil dapatan awal mereka dan memperoleh maklumat daripada penyelidik lain melalui kertas kerja yang dibentangkan," katanya.
Antara tajuk lain yang dibincangkan ialah Kepentingan Menjaga Keamanan Sesebuah Negara Dan Kesannya Kepada Kesejahteraan Rakyat oleh Pengarah Negara, Islamic Relief Malaysia, Ir Zairulshahfuddin Zainal Abidin; dan Indeks Belia Malaysia dan Impak kepada Keamanan Negara oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan, Dr Wasitah Mohd Yusof.
Menurut Raihanah, UM dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia turut menjalankan jualan (Jumble Sale for Peace) di mana hasil jualan amal ini diberikan kepada Islamic Relief Malaysia bagi pelbagai tujuan dalam memperjuangkan hak-hak golongan yang tertindas.
HASIL KAJIAN
Raihanah berkata, program ini merupakan aktiviti di bawah geran penyelidikan The Role Of Peace Towards Economic And Political Stability (GC001D-15HNE).
“Satu kumpulan penyelidik UM sedang menjalankan penyelidikan di bawah Geran Penyelidikan Grand Challenge UM, yang merangkumi 5 sub projek utama iaitu Wanita, Belia dan Keamanan; Keamanan dalam Konteks Sosioekonomi; Mempromosi Pendidikan Keamanan dalam Kurikulum; Titik Pertemuan Keamanan dalam Konflik Insan dan Haiwan; serta Aktiviti Rekreasi dan Kesan Terhadap Keamanan.
Perfect post
ReplyDeleteMarilah sama sama mengekalkan keamanan
ReplyDelete