KERAKUSAN MANUSIA TERHADAP ETNIK ROHINGNYA

Serangan keganasan terhadap etnik Rohingya di daerah Rakhine oleh tentera Myanmar semakin parah. Walaupun Myanmar diterajui oleh penerima Anugerah Nobel Keamanan iaitu Ketua De Facto, Aung San Suu Kyi, saksi-saksi di Myanmar melaporkan yang kanak-kanak serta penduduk Muslim itu dipenggal dan dibakar hidup-hidup tanpa belas kasihan.

Keganasan terkini di wilayah tersebut diberitakan sudah berlarutan selama seminggu, seiring dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan daripada pihak kerajaan Myanmar yang bersifat kebencian yang menggambarkan mereka mahukan keganasan terhadap etnik Rohingya diteruskan.

Kejadian terkini itu menyebabkan duta United Kingdom menggesa untuk melaporkan perilaku ganas Junta Tentera Myanmar terbabit kepada perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggesa Aung San Suu Kyi untuk memperbetulkan keadaan.

Suu Kyi kini berdepan kecaman daripada pihak antarabangsa apabila dilihat gagal menyelesaikan penganiayaan yang berterusan ke atas golongan minoriti Muslim itu. Selain itu, beliau juga dikecam atas kenyataan dalam talian “jawatankuasa informasinya” yang didakwa menyebabkan masyarakat umum Myanmar semakin membenci dan memusuhi populasi etnik Rohingya dan pekerja bantuan keamanan di negara itu.

Menurut saksi, lebih kurang 200 penduduk yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibunuh oleh anggota tentera Myanmar dan penduduk tempatan Rakhine.

Tentera-tentera itu dilaporkan telah menahan sekumpulan lelaki Rohingya dan membawa mereka masuk ke dalam pondok buluh berhampiran dan kemudiannya membakar pondok-pondok buluh berserta dengan tahanan-tahanan tersebut.

Kumpulan pembela hak asasi yang berpangkalan di Bangkok, Fortify Rights, telah mengeluarkan laporan-laporan mengerikan daripada etnik Rohingya yang berjaya menyelamatkan diri dari perkampungan Chut Pyin di Rathedaung.

Jurucakap Tentera Myanmar memberikan alasan bahawa pihaknya melancarkan operasi pembersihan terhadap ‘pengganas ekstrem’, manakala pasukan keselamatan diarah melindungi orang awam.

Namun, penduduk Islam Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berkata, tentera Myanmar telah membakar kediaman dan melakukan pembunuhan ke atas etnik Rohingya untuk memaksa mereka keluar daripada Myanmar.

Sejak lima tahun lepas, daerah Rakhine berpecah mengikut perbezaan agama dan kaum, tetapi kejadian terbaru yang berlaku ini adalah yang terburuk sekali. Rakhine telahpun dilanda keganasan agama sejak 2012, ramai masyarakat etnik Rohingya terbunuh dan ratusan ribu lagi terpaksa melarikan diri.

Keganasan terbaru berlaku apabila militia Rohingya didakwa menyerang pusat kawalan polis serta membunuh 15 pegawai dan membakar perkampungan mereka.

Ketua tentera Myanmar mengatakan hampir 400 orang terbunuh sejak kejadian itu termasuklah sebanyak 370 militia Rohingya.

Pasukan keselamatan Myanmar kini giat melancarkan operasi “pembersihan” kononnya untuk menghapuskan pemberontak dan militia yang dikatakan semakin berkembang kerana ramai lelaki Rohingya menyertai puak pemberontakan itu.

Kumpulan hak asasi manusia pula mendakwa berlakunya pembunuhan beramai-ramai di kawasan pendalaman yang dilakukan oleh polis dan tentera Myanmar serta sami Buddha di Rakhine.

Etnik Rohingya yang dilaporkan berjumlah sekitar sejuta orang di negara tersebut telah lama dipinggirkan oleh masyarakat Myanmar. Mereka dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh walaupun sudah menetap di Myanmar bergenerasi lamanya.










CREDIT TO : WWW.TV14.MY

Comments

Post a Comment

Popular Posts